Saturday, August 18, 2018

Dilema Peralihan Bahasa

Pena 2018 | Dilema Peralihan Bahasa

Tarikh : 18 Ogos 2018 (Sabtu)
Lokasi : MFD, Bandar Puchong Jaya

Seandainya kanak-kanak Pekak menerima pendidikan awal pada usia lima hingga tujuh tahun, sudah pasti mereka boleh menguasai asas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) sebagai bahasa pertama (bahasa ibunda) serta menjadi lebih mudah didedahkan kepada huruf-huruf dan perkataan dalam bahasa tulisan sebagai bahasa kedua.

Juga diandaikan bahawa ibu bapa mereka telah mendapat kesedaran awal dan merujuk kepada kamus, kelas pembelajaran BIM dan bahan sokongan multimedia terlebih dahulu sebelum memberikan didikan awal dan memastikan kanak-kanak Pekak memperoleh bahasa pertama.

Apabila memasuki alam persekolahan formal, kanak-kanak Pekak diperkenalkan kepada persekitaran pendidikan khas yang menggunakan bahasa rasmi (Bahasa Melayu) sebagai bahasa pengantar dalam pembelajaran dan pemudahcaraan.

Walau bagaimanapun mereka menghadapi kesulitan untuk memahami dan mengerti percakapan guru-guru dalam bahasa kod tangan yang menyerupai struktur bahasa lisan seperti Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM).

Mereka juga diperkenalkan kepada pelbagai kod tangan yang lebih jauh berbeza dengan BIM dan dicipta oleh pendidik bukan Pekak tanpa pengiktirafan Pekak.

Sebagai akibatnya, kanak-kanak Pekak menghadapi dilema dan kecelaruan dalam mengikuti pelajaran yang disampaikan melalui penggunaan kod-kod tangan oleh guru-guru seandainya mereka telah membiasakan diri dengan isyarat-isyarat tangan dari dunia Pekak yang sebenar.

Kecelaruan tersebut boleh dimaksudkan sebagai peralihan bahasa secara tidak sistematik, iaitu konflik komunikasi antara kanak-kanak Pekak (fasih BIM) dengan golongan pendidik khas (mahir atau separa mahir KTBM) sepanjang tempoh pendidikan.

Mereka bermula dengan bahasa ibunda (bahasa isyarat di rumah) dan terpaksa memasuki dunia bahasa kod tangan (sebagai bahasa pengantar di sekolah).

Setelah menamatkan persekolahan, mereka beralih semula kepada bahasa isyarat sebenar namun menghadapi kecelaruan identiti diri sebagai warga Pekak akibat kesan pendedahan yang agak lama kepada penggunaan kod tangan yang bertentangan dengan BIM.

Pada kesimpulannya, mereka tidak diberikan hak asasi untuk memperoleh akses kepada pendidikan dalam bahasa isyarat Pekak yang telah diiktiraf sebagai satu bahasa sebenar (true language) di peringkat antarabangsa.

Pandangan tersebut dihuraikan oleh penulis dalam Mesyuarat Guru-guru Pekak Malaysia yang diadakan oleh sekumpulan Guru Pekak di bawah pimpinan Cikgu Lee Tur Chung baru-baru ini.

Penulis hadir bersama dengan wakil Persatuan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak (MyBIM), iaitu Anthony Chong (Setiausaha) dan Ho Koon Wei (AJK) atas jemputan untuk menyediakan khidmat konsultan dan perundingan bahasa isyarat.

Anthony Chong memiliki pengalaman luas dalam bidang kajian Budaya Pekak. Ho Koon Wei mengkhusus dalam bidang linguistik bahasa isyarat. Bidang pengkhususan penulis ialah kajian perbandingan KTBM dan BIM.

Ahli MKBOKU (Majlis Kebangsaan bagi OKU) Mohd Yazid Bain turut menghadiri mesyuarat tersebut bersama dengan Mohamad Sazali Shaari dan Aqlam Jafri bagi wakil pihak MFD (Persekutuan Orang Pekak Malaysia).

Mereka telah memberikan pelbagai input sebelum diambil kira oleh kumpulan guru Pekak untuk menambah baik kandungan memorandum pendidikan khas yang bakal diserahkan kepada Kerajaan.

Kumpulan mereka kini menerajui perjuangan bangsa Pekak untuk memastikan pendidikan diberikan kepada kanak-kanak Pekak melalui bahasa isyarat sebenar sebagai alatan komunikasi dan interaksi.

Ditegaskan bahawa BIM ialah bahasa isyarat rasmi menurut Akta OKU 2008 dan seharusnya diterima pakai dalam semua urusan rasmi dalam Kerajaan termasuk pendidikan khas untuk kanak-kanak Pekak.

*** *** ***
Dilaporkan oleh Amir Hamdi




No comments:

Post a Comment