Friday, August 10, 2018

Prime Lecture Program - Bilingualism with May Lin Eu

Pena 2018 | Kaedah Cikgu May-Lin Memukau

Tarikh : 10 Ogos 2018 (Jumaat)
Tempat : MFD, Bandar Puchong Jaya, Selangor

“Saya merupakan bekas penutur kiu (cued speech) dan pengguna Signed English (SEE) pada masa dahulu ketika menuntut ilmu di Amerika Syarikat. Kini saya beralih kepada Bahasa Isyarat Amerika (ASL). ASL ialah bahasa sebenar (true language).”

“Anak lelaki saya bukan seorang warga Pekak tetapi lebih selesa menggunakan ASL.”

“Sekolah saya menggunakan ASL sebagai bahasa pengantar. Kebanyakan murid Pekak di sekolah saya berjaya menguasai bahasa Inggeris dan boleh menulis dengan baik di bawah kaedah pengajaran dalam ASL.”

“ASL dan bahasa Inggeris adalah bahasa yang berasingan dan mempunyai dunia yang berbeza. Inilah konsep kedwibahasaan dan kedwibudayaan yang seharusnya dilaksanakan dalam sistem pendidikan khas.”

Demikianlah kata-kata Cikgu May-Lin ketika menyampaikan syarahan perdana bertajuk “Kedwibahasaan dan Pendidikan Kanak-kanak Pekak” kepada kira-kira 80 orang hadirin termasuk ibu bapa dan guru-guru pendidikan khas.

Program syarahan perdana dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak (MyBIM) dengan kerjasama MFD (Persekutuan Orang Pekak Malaysia).

Cikgu May-Lin menggunakan ASL dalam syarahan itu serta diterjemahkan kepada BIM oleh Setiausaha MyBIM, Anthony Chong dan kepada Bahasa Melayu oleh jurubahasa isyarat MFD.

Beliau bertugas sebagai Ketua Guru (Grades 3-5) di Sekolah Marie Phillip di bawah The Learning Center for the Deaf di Massachusetts, Amerika Syarikat. Beliau dilahirkan di Selangor dan dibesarkan di Pulau Pinang sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Gallaudet, Washington D.C.

Menurut beliau, Sekolah Marie Phillip merupakan sekolah terawal yang mula-mula mengasaskan pendekatan Bilingual Bicultural (Kedwibahasaan Kedwibudayaan) pada tahun 1970 dan diberi nama Marie Phillip sempena nama tokoh pejuang ASL yang berjasa kepada pembangunan pendekatan tersebut.

Para hadirin lebih tertarik oleh salah satu kaedah pengajaran yang didemostrasikan oleh Cikgu May-Lin. Ia merupakan inovasi yang amat jarang disaksikan dalam dunia pendidikan negara ini.

Dalam kaedah itu, beliau mengajar dengan menggunakan ASL dan model grafik berwarna-warni ketika membimbing kanak-kanak Pekak menulis dalam bahasa Inggeris mengikut tatabahasa yang betul.

Beliau menambah bahawa kaedah itu merupakan senjata yang paling berkesan dalam usaha mengatasi masalah kelemahan bahasa tulisan seperti bahasa Inggeris di kalangan masyarakat Pekak.

Selain itu, kanak-kanak Pekak juga digalakkan untuk mengikuti pelbagai cerita beranimasi seperti video dalam ASL dan membiasakan diri secara visual dengan struktur tulisan bahasa Inggeris.

Penulis dalam ucapan penutup program selaku Timbalan Presiden MyBIM berharap agar program ini membangkitkan kesedaran baharu tentang kepentingan pendekatan kedwibahasaan dan kedwibudayaan kepada sistem pendidikan negara.

Sesungguhnya kita wujud sebagai bangsa Pekak yang telah memiliki bahasa sebenar, yakni BIM. Justeru anak-anak bangsa Pekak mestilah diberikan hak yang sama rata untuk diajar dan memahami semua mata pelajaran dalam BIM sepenuhnya di sekolah-sekolah atas faktor bangsa dan bahasa ibunda.

Pada kesimpulannya, Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM) tidak banyak menyumbang kepada kemahiran penulisan bahasa Melayu memandangkan sifat KTBM yang tidak memenuhi ciri-ciri bahasa isyarat Pekak berdasarkan konsep Kedwibahasaan dan Kedwibudayaan.

Sudah tiba masanya kepada para guru pendidikan khas terutama Guru Pekak untuk bersatu sehati dan membangunkan satu kaedah inovasi untuk membimbing murid Pekak membaca dan menulis dalam bahasa Melayu hanya dengan menggunakan BIM seperti dalam sesi demostrasi oleh Cikgu May-Lin.

Terima kasih kepada Cikgu May-Lin kerana berjaya membuka mata masyarakat dengan membuktikan bahawa hanya dengan bahasa ibunda Pekak, para warga Pekak berupaya menguasai bahasa tulisan sebagai bahasa kedua.

Beliau akan menyampaikan syarahan kali kedua di Pulau Pinang pada hari Rabu ini. Satu ilmu baharu yang dinantikan oleh warga komuniti Pekak dan para guru di Sekolah Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang.

Ditulis oleh Amir Hamidi





No comments:

Post a Comment